BERIKUTAN kemajuan pesat, keluasan Hutan Simpan kekal (HSK) di sekitar ibu kota Kuala Lumpur kini semakin kritikal apabila hanya tinggal kira-kira 85 hektar untuk dijadikan kawasan hijau yang berfungsi sebagai kawasan ‘penyerap’ kepada perubahan iklim.
Sehubungan itu, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bertekad menambah sekurang-kurangnya 90 hektar kawasan hutan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk diwartakan sebagai HSK dalam masa terdekat bagi meningkatkan kawasan hijau atau green lungs di ibu kota.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Ridza Awang, berkata kawasan HSK seluas 85 hektar di Kuala Lumpur tidak mencukupi kerana ia hanya menyumbang tujuh peratus daripada keseluruhan 2,066 hektar kawasan hutan sedia ada.
“Kalau ikutkan 85 hektar ini memang tidak mencukupi kerana kita memerlukan 50 peratus sekurang-kurangnya kawasan berhutan daripada keseluruhan kawasan tanah yang ada di sini kerana fungsinya yang signifikan sebagai green lungs.
“Atas dasar itu, beberapa lagi kawasan hutan di Kuala Lumpur, termasuk di Labuan yang sedang dalam proses untuk mendapatkan tanah hutan untuk diwartakan sebagai HSK,” katanya kepada Berita Harian.
HSK seluas 85 hektar di ibu kota adalah di Bukit Lagong, Bukit Nanas, Sungai Besi dan Bukit Sungei Puteh.
Sumber : Berita Harian