KISAH seorang pelajar berusia 14 tahun yang menjadi mangsa kecurian telah menarik perhatian Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal untuk turun padang bertemu dengan remaja berkenaan pada Selasa, lapor Sinar Harian.
Muhammad Nor Faizal Nordin mencari duit poket ketika cuti sekolah dengan bekerja sambilan menjual burger tepi jalan di Jalan Nuri Seksyen 7, Kota Damansara.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi baru-baru ini, Muhammad Nor Faizal kehilangan telefon bimbit, wang tunai dan barang jualan di kedai burger di tempatnya bekerja ketika dia ke tandas.
Menurut perkongsian di Facebook Polis Daerah Petang Jaya pada Selasa, atas dasar prihatin, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menyumbangkan sebuah telefon bimbit kepada mangsa.
“Ia bagi memberi semangat kepada remaja itu untuk terus cekal dalam menghadapi cabaran di dalam kehidupan.
“Dengan hanya usaha kecil, namun tidak ramai orang yang memanfaatkan peluang itu untuk mengubah dunia, hanya satu kebaikan sehari,” menurut perkongsian itu.
Sumber: Sinar Harian