KHAIRY USAH BIADAP DAN ANGKUH

Sebagai mantan menteri kabinet, Khairy seharusnya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan dan tidak terbawa-bawa dengan emosi.

MAHB melalui Khazanah telah memberi penjelasan. Pihak yang dirunding ialah GIP. Blackrock hanya muncul pada tahun ini apabila berhasrat mengambil alih pegangan saham GIP. Dalam hal ini, Khazanah mahupun KWSP tidak pernah berunding dengan mana-mana wakil daripada Blackrock.

Khazanah dan KWSP tidak menjual MAHB kepada entiti asing, sebaliknya terus meningkatkan pegangan sahamnya sehingga 70%.

Malah aset strategik ini juga akan terus dimiliki negara melalui Golden Share oleh Kerajaan Malaysia.

Kalau ikut formula atau sifir mudah Khairy, lebih baik kita putuskan hubungan diplomatik dengan Amerika. Apakah beliau lupa bahawa Amerika adalah pihak paling lantang mendukung zionis Israel sehingga menafikan Palestin daripada menjadi anggota penuh PBB? Tidakkah mengekalkan hubungan dagang dengan Amerika dianggap sebagai bersekongkol dengan pembantaian rakyat di Palestin? Sebab itu logik beliau itu sangat dangkal.

Apakah beliau terperangkap dalam naratif 7 Oktober yang dimainkan barat dengan merujuk sentimen dan emosi semata tanpa melihat fakta keseluruhannya ?

Apakah Khairy juga pura-pura tidak tahu bahawa Blackrock telah berada dalam pasaran bursa negara sejak tahun 1990 dan kini merupakan pemegang saham kedua terbesar di bursa Malaysia? Dan adakah pengasas Blackrock Larry Fink hanya menjadi zionis pasca 7 Oktober dan sebelumnya beliau adalah seorang wahabi?

Apakah Khairy lupa bahawa syarikat CGS Securities yang mana beliau dilantik sebagai pengarah, sebahagian saham syarikat induknya juga dimililki oleh Blackrock? Hipokrasi jenis apakah yang cuba ditonjolkan oleh Khairy?

Beliau boleh kritik, tetapi dalam masa yang sama harus lebih bertanggungjawab dan tidak hipokrit. Kerajaan ini tidak pernah mempertahankan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan rejim zionis Israel.

Pendirian PM dan kerajaan dalam isu keganasan Israel terhadap rakyat Palestin adalah jelas. Dan kita adalah yang paling lantang dalam mempertahankan dan membela nasib rakyat di Palestin. Justeru menggelar PM sebagai rakan subahat zionis Israel dalam jenayah genosid adalah melampau dan biadap.

*Kamil Munim*

Setiausaha Politik YAB PM