BAYARAN gaji kepada pekerja di negara ini dilihat masih tidak setimpal dan berbaloi dengan usaha dan jumlah waktu bekerja.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Datuk Mohamed Shafie BP Mammal meluahkan rasa kecewa melihat situasi yang masih membelenggu rata-rata pekerja di negara ini, meskipun memasuki fasa negara sedang membangun.
“Wujud ketidakseimbangan daripada segi upah atau gaji bayaran kepada pekerja di negara ini. Contohnya apa yang dinyatakan Perdana Menteri sebelum ini, syarikat mempunyai prestasi yang bagus, keuntungan yang baik tetapi bayaran gaji kepada pekerja menjadi kemusykilan.
“Inilah satu perkara yang besar yang kita hadapi pada hari ini kerana setiap kali kita buka mulut cakap pasal gaji, persepsi majikan sangat negatif. Bukan semua majikan, ada majikan yang kita patut puji mereka kerana mereka mengambil berat dan mereka mengetahui kesusahan yang dihadapi oleh pekerja,” kata Mohamed Shafie di program Pantau Agenda Reformasi pada Isnin.
Sementara itu, beliau berharap lembaga pengarah di semua syarikat di negara ini mengambil tahu serta memainkan peranan dalam menyelesaikan isu mengenai gaji pekerja di negara ini, lapor Harian Metro.
Ini kerana harga keperluan dan kehendak di negara ini dilihat semakin meningkat sekali gus memberi tekanan kepada mana-mana individu terutama yang sudah berkeluarga.
Sementara itu, modul pekerjaan mengikut budaya di negara masing-masing juga perlu dititiberatkan oleh para majikan memandangkan negara kini memasuki era digitalisasi dan pemodenan.
“Modul pekerjaan sangat penting, semua orang bercakap tentang digitalisasi dan modenisasi tapi modul itu sangat penting. Kita kalau boleh, pakai modul dalam negara kita sendiri kerana kita bekerja ikut budaya negara kita sendiri dan prestasi kerja ikut budaya sendiri.
“Apa yang kurang sekarang ini adalah latihan walhal latihan itu sangat penting pada pekerja kerana hanya dengan latihan itu sahaja maka mereka boleh berubah daripada satu sistem pekerjaan kepada sebuah sistem pekerjaan lain. Kita kena wujudkan new space sekarang ini yang dilihat sangat penting.
“Majikan pula tidak boleh guna alasan ini belanja mahal dan sebagainya. Kedua, pihak harus saling bekerjasama antara pekerja dan majikan. Pekerja juga khususnya di Malaysia sanggup belajar, kita mahu belajar, bukan tak mahu,” akhirinya.
Sumber gambar & laporan – Harian Metro