Kes Buli Di Pulau Pinang, Polis Siasat Penglibatan Kongsi Gelap

Polis akan menyiasat sama ada wujud penglibatan kongsi gelap dalam dua kes buli di sebuah sekolah menengah di Butterworth dan sebuah institusi menengah bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, sekiranya siasatan menunjukkan berlaku perkara itu, polis akan mengambil tindakan terhadap geng kongsi yang terlibat, lapor Sinar Harian.

“Mengenai kes buli di sebuah sekolah dan sebuah institusi menengah bawah Mara, tangkapan sudah dibuat dan telah diberi jaminan polis seperti yang saya maklumkan sebelum ini.

“Bagaimanapun, siasatan juga akan menjurus kepada kegiatan-kegiatan kongsi gelap, sama ada mereka ini berada di belakang mereka (pelaku) atau pun sebaliknya.

“Sekiranya benar, kita akan ambil tindakan terhadap kongsi-kongsi gelap ke atas sekolah-sekolah tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat Ketua Polis Pulau Pinang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Georgetown pada hari Rabu.

Kok Chin berkata, polis sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya.

Sebelum ini, polis menahan sembilan remaja lelaki berusia 14 hingga 16 tahun yang juga pelajar tingkatan dua hingga empat di sebuah sekolah menengah di Butterworth bagi membantu siasatan berhubung dua kes buli di sekolah berkenaan.

Bagaimanapun kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil.

Sumber : Sinar Harian