JABATAN Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghargai usaha kerajaan melalui penubuhan jawatankuasa khas bagi menyiasat punca kematian anggotanya, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Hamdan Wahid berkata, usaha itu selari dengan hasrat JBPM agar kes berkenaan dapat diadili dengan sewajarnya.
“JBPM merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kesungguhan dan komitmen YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung langkah penubuhan Jawatankuasa Khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian pegawai Bomba, Allahyarham PBK Muhammad Adib Mohd Kassim.
“Penubuhan Jawatankuasa Khas ini juga adalah tanda keprihatinan Kerajaan kepada kebajikan penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Hamdan Wahid menyatakan, pihaknya sebelum ini telah mengemukakan beberapa cadangan bagi merungkai segala perkara berbangkit mengenai insiden yang menimpa Muhammad Adib.
Penubuhan jawatankuasa khas berkenaan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.
Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan parah dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama.