POLIS bakal menjalankan siasatan terhadap seorang pembaca berita baru-baru ini yang tular berhubung kenyataan berunsurkan fitnah terhadap penguatkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani berkata, kertas siasatan telah dibuka berhubung kes berkenaan melibatkan pembaca berita sebuah stesen televisyen.
Menurutnya lagi, tindakan itu seakan sengaja dengan niat untuk mengaibkan serta membangkitkan isu keamanan.
“Ini kerana tindakan yang dilakukan PDRM itu berlandaskan peruntukan undang-undang yang sedia ada bagi tujuan mengekang pandemik COVID-19,” katanya.
Setakat ini, siasatan masih dijalankan berkaitan isu kompaun terhadap peniaga burger di Kelantan yang dikenakan denda RM50,000 selepas didapati melanggar SOP.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian) yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Acryl Sani dalam masa sama menggesa orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang fitnah serta kebencian terhadap pihak berkuasa terutamanya di media sosial.
Tegasnya, tindakan sedemikian mampu menjejaskan keharmonian antara agensi penguat kuasa, terutama pasukan polis dan masyarakat.
“Saya perhatikan perkara ini seolah-olah menjadi satu ‘trending’ dan sekiranya tidak diatasi, kita bimbang ia akan menghakis kepercayaan dan keyakinan masyarakat kepada pihak polis.
“Saranan saya, sekiranya mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan apa juga tindakan yang diambil oleh agensi penguat kuasa, sila majukan sebarang permasalahan yang dihadapi menggunakan saluran yang betul.
“Justeru saya minta kepada semua pihak untuk menggunakan saluran yang betul dan tidak cuba menyebarkan sesuatu perkara tidak berasas atau yang belum diketahui lagi asas kebenaran dan kesahihan maklumatnya,” katanya lagi.