Kuala Lumpur: Pelaksanaan Perintah Gaji Minimum berkuat kuasa Sabtu memberi manfaat kepada hampir 4.37 juta pekerja tempatan dengan peningkatan gaji minimum dari RM1,500 kepada RM1,700 sebulan.
Tambahan gaji RM200 juga dijangka dapat memberi faedah kepada peningkatan perbelanjaan domestik sekaligus menyuntik ekonomi negara.
Penganalisis Ekonomi Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof. Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, daripada jumlah itu dianggarkan negara boleh menjana hampir RM800 juta perbelanjaan bagi ekonomi domestik.
“Lazimnya, bagi individu yang layak menerima peningkatan gaji ini, mereka berbelanja dalam negara.
“Jadi dengan adanya peningkatan gaji ini ia dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara secara berperingkat.
“Namun, gaji minima ini tidak seharusnya disama ratakan bagi kumpulan siswazah yang sedang mencari kerja,” katanya ketika dihubungi.

Beliau juga menyarankan agar ada badan khusus untuk memantau pengusaha mikro yang sengaja menaikkan harga barang lanjutan peningkatan gaji.
“Selain itu, majikan juga perlu dipantau mengikut akta khusus jika mereka enggan memberi gaji minimum seperti ditetapkan,” ujarnya.
Presiden Persatuan Pesara Kerajaan dan Swasta (Pejasma), Datuk Azih Muda berkata ia membolehkan sebahagian besar pekerja daripada golongab berpendapatan rendah mempunyai tambahan simpanan.
Katanya, pertambahan RM200 adalah inisiatif positif untuk membantu pekerja meningkatkan taraf hidup.
“Pelaksanaan gaji minimum juga dapat membantu mengurangkan jurang pendapatan dalam
kalangan rakyat.
“Hal ini juga menunjukkan usaha kerajaan untuk memberi manfaat secara sekata kepada semua,” ujarnya.

Namun, jelasnya sedikit simpanan berkenaan mungkin sukar untuk membantu pekerja yang tinggal di sekitar bandar besar kerana kos kehidupan tinggi.
“Bergantung pada geografi, jika pekerja tinggal di kawasan luar bandar mungkin boleh memiliki rumah kerana kos sara hidup yang tidak tinggi,” katanya.