SUAMI kepada Nurul Nazihah Kamalul Arifin, menjelaskan Allahyarham isterinya sempat meminta dirinya keluar dahulu sebelum kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 45.7 Lebuh Raya Utara Selatan, malam kelmarin.
“Awak keluar kereta dulu.” Itu kata-kata terakhir Nazihah kepada suaminya, Redzuan Jamil, lapor Bernama.
Redzuan yang berusia 28 tahun berkata dia berjaya dibawa keluar oleh orang awam, sebelum dia dan orang awam cuba pula untuk membawa keluar isterinya yang masih tersepit di dalam kereta.
“Ada kemalangan di hadapan saya dan keadaan tengah sesak ketika itu. Tiba-tiba saya sedar ada impak dari belakang apabila lori lima tan rempuh kereta saya dan dua kereta lain. Saya cuba selamatkan isteri saya dengan memecahkan cermin hadapan dan pintu sebelah isteri saya tapi tak berjaya kerana dia tersepit dekat ‘dashboard’ dan waktu itu isteri saya masih sedar.
“Selepas itu, tangki kereta saya meletup dan ada orang bawa saya keluar dari situ. Ketika itu saya tak dengar isteri panggil nama saya dan saya rasa mungkin dalam tu tak panas, dia tak panggil nama saya nampak diam sahaja,” katanya kepada Bernama.
Redzuan berkata isterinya tidak menunjukkan sebarang kelainan atau perubahan sebelum kemalangan, namun pemergiannya sangat dirasai kerana sepanjang tempoh tiga tahun bersama, mereka tidak pernah berjauhan malah sentiasa menghabiskan masa bersama.
“Tengah hari semalam saya dari rumah di Kota Masai, sebelum ke Kluang jumpa ‘client’. Saya dan isteri kemudiannya bercadang nak ke Gelang Patah untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Johor Darul Ta’zim di Stadium Sultan Ibrahim Sultan Iskandar,” katanya.
Terdahulu, tular video menunjukkan seorang lelaki meraung kesedihan apabila isterinya masih terperangkap di dalam kereta yang sedang terbakar di sebuah lebuh raya.
Jenazah mangsa berusia 28 tahun itu telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Temenin Lama semalam.
Sumber: Bernama