Kuala Lumpur: Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada semua Ahli-ahli Parlimen yang menyokong dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) 2024 di Dewan Rakyat hari ini.
Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia, Mohamad Fauzi Ishak, menyifarkan kelulusan RUU Majlis Media Malaysia menjadi hal yang dinanti oleh seluruh pengamal media dinegara ini dalam usaha untuk mengangkat martabat profesion kewartawanan negara.
“Ini antara lainnya, yang menyentuh soal masa depan industri media itu sendiri agar terus kekal berdaya saing dan kompetetif, seiring dengan kepesatan dunia digital hari ini.
“Pelbagai isu kebajikan yang melingkari dan membelenggu warga pengamal media sejak mutakhir ini, akan dapat diambil perhatian dan tindakan segera, sekaligus ditangani sebaiknya,” katanya.
Penubuhan Majlis Media Malaysia adalah secara langsung akan membuka ruang serta platform dimana seluruh pengamal media, industri media serta kerajaan dapat duduk bersama, berbincang dan mencari solusi, disamping merangka hala tuju untuk masa depan dunia kewartawanan di Malaysia.
Beliau berkata, GKMM menaruh harapan agar kerajaan meletakkan keutamaan dari segi penglibatan dan penyertaan penuh daripada kalangan warga media dalam Majlis Media Malaysia, terutama dalam membuat dan menentukan keputusan penting yang menyentuh hala tuju dan masa depan industri ini.
“Penghargaan khusus juga diberikan kepada Kementerian Komunikasi terutama YB Menteri, Fahmi Fadzil serta timbalannya, Teo Nie Chin atas komitmen dan kesungguhan mereka berdua dalam memastikan RUU ini akhirnya dibentang dan diluluskan dengan jayanya di Dewan Rakyat,”katanya.