Persiapan sebuah keluarga di Kampung Changkat Setoi untuk berbuka puasa terganggu apabila seekor ular tedung selar tiba-tiba memasuki kediaman mereka.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7 petang tadi apabila kehadiran tedung selar sepanjang hampir tiga meter itu disedari penghuni rumah ketika hendak mengambil barang dalam stor.
Sukarelawan penangkap ular, Mohd Nizam Abdul Rahman, 54, berkata dia menerima panggilan berhubung kehadiran tedung selar itu sebelum waktu berbuka puasa dan bergegas ke lokasi untuk membantu.
“Mungkin dia baru telan tikus kerana perutnya kembung…reptilia itu nampak kekenyangan dan ia memudahkan saya menangkapnya.
“Ketika itu baru selesai waktu berbuka puasa dan selepas menangkap ular, saya hubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) untuk mengambilnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Memetik laporan Berita Harian, Mohd Nizam yang sudah lama terbabit dalam penangkapan ular percaya, berkemungkinan tedung selar itu datang dari semak berhampiran untuk berlindung di rumah penduduk.
Dia yang kini bekerja di Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok sering membantu penduduk kampung menangkap ular secara sukarela sejak beberapa tahun lalu dan pernah berkhidmat sebagai sukarelawan APM Kubang Pasu sebelum ini.
“Sepanjang menangkap ular, saya gunakan kemahiran sendiri untuk menangkap reptilia berkenaan dengan menggunakan besi pencakuk,” katanya.
Sumber gambar dan laporan – Berita Harian