DAH macam naik motosikal, itu yang bakal dihadapi penunggang basikal jika cadangan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) agar memperkenalkan nombor plat dan lesen bagi penunggang basikal dikuatkuasakan di negara ini.
Cadangan itu dibangkitkan susulan tular beberapa isu membabitkan penunggang basikal baru-baru ini yang kelihatan menjalankan aktiviti di lebuhraya.
Ia dinyatakan Ketua Pengarah Miros, Dr. Khairil Anwar Abu Kassim dalam usaha menjaga keselamatan penunggang basikal daripada terdedah dengan kemalangan di jalan raya.
“Miros sedang mengkaji keperluan lesen dan nombor plat untuk basikal memandangkan ia menjadi trend dan minat bagi kebanyakkan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Aktiviti berbasikal menjadi trend di Malaysia ketika ini dengan rata-rata memilih untuk melakukan kayuhan jauh sehingga puluhan kilometer berbanding kayuhan konvensional di kawasan perumahan, taman dan pusat rekreasi.
Dalam pada itu, Kosmo! melaporkan majoriti persatuan yang bernaung di bawah Kelab Berbasikal Kelantan menganggap cadangan pelaksanaan nombor plat dan lesen basikal sebagai tidak praktikal untuk dikuatkuasakan di negara ini.
Setiausaha Kelab Berbasikal Semerak, Wan Abdul Hisyam Wan Noh berkata, pelaksanaan lesen basikal dan plat pastinya membebankan rakyat terutamanya aspek pendaftaran yang akan akan melibatkan kadar bayaran.
Katanya, sebelum mengeluarkan cadangan, Miros seharusnya peka terhadap penggunaan basikal di negara ini yang melibatkan pelbagai kategori dan jenis.
“Pada saya, pendaftaran nombor plat dan lesen tidak perlu. Ia tidak releven untuk dilaksanakan di negara ini.
“Apa yang penting ialah penguatkuasaan peraturan untuk kayuhan di jalan utama dan lebuh raya. Pihak terbabit perlu tingkatkan usaha untuk mendidik kaedah kayuhan terutamanya dalam kalangan penunggang yang lebih selamat,” katanya kepada Kosmo!
Sementara itu, anggota kelab Masjid Saidina Osman Cycling Club (MSOCC), Khairuddin Ibrahim berkata, dia berpandangan tiada keperluan mendesak untuk kerajaan menguatkuasakan peraturan itu buat masa ini.
“Cuma apa yang perlu adalah kerajaan membuat garis panduan dan peraturan yang berkaitan dengan penggunaan laluan khusus untuk aktivti berbasikal.
“Garis panduan ini penting apabila aktiviti berbasikal berlaku di laluan utama seperti di lebuh raya dan jalan raya utama sama ada ia dibenarkan atau sebaliknya,” katanya.
Tambahnya, kempen kesedaran dan keselamatan juga perlu ditingkatkan di samping mewujudkan laluan khusus untuk berbasikal atau aktiviti sukan yang berkaitan.
Dalam pada itu, Pengurus Kelab Berbasikal Darulnaim, Hisham Abdullah berkata, kajian yang dibuat seperti tidak tepat dengan keadaan sebenar di negara ini.
“Di Belanda, basikal yang memiliki nombor plat hanya basikal yang digunakan untuk masuk dalam bandar. Kajian yang dibuat perlu berpaksikan geografi tempatan.
“Apa kaitannya nombor plat basikal dengan keselamatan jalan raya?,” soalnya.
Sumber: Kosmo!