PENGGUNA jalan raya boleh gunakan kad debit dan kredit untuk pembayaran tol di lima lebuh raya utama negara bermula selewat-lewatnya September 2023.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelaksanaan sistem pembayaran terbuka (open payment system) itu adalah inisiatif awal dalam proses peralihan ke arah sistem Multi Lane Fast Flow (MLFF).
Lebuh raya yang terbabit adalah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie dan Jambatan Pulau Pinang.
“Melalui pelaksanaan MLFF, open payment system akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya di Malaysia secara berperingkat dan akan membuka peluang kepada lebih ramai pihak pemberi kemudahan e-Wallet untuk turut serta dan tiada lagi monopoli oleh pihak Touch ‘N Go.
“Dengan itu, persaingan sihat akan wujud di antara pemain industri yang akan membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuh raya untuk membuat pembayaran tol sekali gus memberikan kemudahan kepada mereka,” kata beliau dalam satu hantaran Facebook pada hari Selasa.
Menurut laporan Sinar Harian, Datuk Alexander menjelaskan yang pembuktian konsep sistem MLFF akan dijalankan sebelum penghujung Oktober 2023 bagi menilai sistem tersebut sebelum dilaksanakan di lebuh raya seluruh negara.
Lokasi bagi pembuktian konsep masih dirundingkan dan bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat, sebelum pelaksanaan MLFF secara sepenuhnya dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.
Sumber gambar tajuk – Wikipedia | Sumber laporan – Sinar Harian