PUTRAJAYA – Jemaah Menteri memutuskan bahawa garis panduan mengenai kehadiran umat Islam di rumah ibadat bukan Islam yang dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak akan dijadikan sebagai dasar negara.
Keputusan ini dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri setelah meneliti kekeliruan yang timbul berkaitan cadangan tersebut yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan, JAKIM masih boleh memberikan nasihat kepada orang Islam berkaitan keperluan menjaga akidah, namun nasihat tersebut tidak bersifat dasar dan perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapat kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
Sementara itu, Kementerian Perpaduan Negara akan meneruskan pelaksanaan Dialog Harmoni bagi memperkukuhkan keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di negara ini.
Perkara ini akan dibincangkan secara lebih lanjut dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) Bil 1/2025 yang akan diadakan bulan ini. Mesyuarat tersebut akan melibatkan 24 wakil pelbagai agama termasuk Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao dan Baha’i.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian telah lama menjadi contoh perpaduan dan keharmonian kepada dunia, dan Kerajaan MADANI menyedari kestabilan negara bergantung kepada kesejahteraan rakyat yang hidup dalam suasana aman dan harmoni.
Cadangan garis panduan ini timbul susulan beberapa pertanyaan daripada umat Islam tentang jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin melibatkan unsur-unsur keagamaan.