GARA-gara tidak menghormati bulan Ramadan, sebuah restoran di Peringgit, Melaka diserbu penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas dipercayai jadi ‘port’ invidu yang tidak berpuasa.
Menurut Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat, serbuan dibuat hasil risikan sejak hari pertama Ramadan susulan restoran tersebut yang terkenal sebagai transit mereka yang tidak berpuasa.
“Untuk operasi hari ini sebanyak tujuh notis dikeluarkan ke atas pemilik dan pekerja restoran yang berusia antara 24 dan 63 tahun itu atas kesalahan di bawah Seksyen 49 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 dan mereka diperintahkan untuk hadir ke pejabat JAIM untuk memberi keterangan,” katanya hari ini.
Hasil siasatan mendapati operasi perniagaan premis berkenaan dimulakan seawal jam 8 pagi dan mendakwa menjual makanan kepada individu bukan Muslim.
Kata Che Sukri lagi, premis tersebut merupakan yang sama pernah diberi amaran pada tahun sebelumnya.
“Kali ini modus operandinya menggunakan ‘ulat’ dan mereka menerima tempahan melalui telefon. Jadi air dan makanan sudah siap dibungkus dan ulat ini akan terus ke kereta di mana pembeli sedia menunggu.
“Jadi pembeli tidak perlu ‘drop off’ atau singgah di kedai dan kaedah menggunakan ‘ulat’ ini lebih mudah dan lancar dalam menghantar makanan yang dibeli,” ujarnya lagi.