PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka dipanggil pihak polis bagi membantu siasatan berhubung rakaman audio tular yang dikatakan mirip suara kedua-dua individu tersebut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan tersebut bagi bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung kes berkenaan.
Jelas beliau lagi, Presiden UMNO dan Presiden PKR itu perlu tampil membuat laporan polis, jika benar rakaman tersebut berbentuk fitnah.
“Bila kertas siasatan dibuka, memang itulah tindakan yang akan diambil.
“Apabila tiba masanya pegawai penyiasat akan memanggil (mereka).
“Kedua-dua pihak sama ada Datuk Seri Anwar atau Datuk Seri Ahmad Zahid sekiranya mereka merasakan teraniya, mereka perlu tampil membuat aduan.
“Tetapi sekiranya orang ramai rasa tertekan, cemas atau menimbulkan kegemparan (tampil buat laporan).
“Apabila menerima banyak laporan pihak polis ada sebab untuk membuka kertas siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor, hari ini.
Turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed.
Mengulas lanjut, Hamid Bador berkata pihaknya masih sedang meneliti rakaman audio tersebut bagi tujuan analisa ketulenan rakaman tersebut.
Jelasnya lagi, siasatan akan dijalankan secepat mungkin dan hasil siasatan akan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, rakaman audio perbualan dua individu yang mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar menjadi tumpuan selepas ia tular di media sosial.
Audio berdurasi empat minit 17 saat itu, turut kedengaran suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menerusi panggilan telefon.
Menerusi rakaman sama, Anwar yang juga Ketua Pembangkang dikatakan mengakui tidak mengikuti PAU secara dekat, selama 22 tahun.
Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin tersebut dengan keras menafikan ia suara mere