Inisiatif Pengenaan Caj 20 Sen Untuk Beg Plastik Dilihat Ibarat Curah Air Ke Daun Keladi

Pelaksanaan Kempen Tiada Plastik yang turut merangkumi pengenaan caj 20 sen bagi setiap beg plastik sekali guna dalam usaha kerajaan mengurangkan sisa plastik di negara ini, dilihat ibarat mencurah air ke daun keladi.

Rata-rata pengguna didapati tidak kisah membayar caj berkenaan apabila pergi membeli-belah, terutama di pasar raya dan pasar basah, dengan kebanyakan mereka keluar dari premis menjinjit beberapa beg plastik sarat barang yang dibeli.

Statistik sisa pepejal Kuala Lumpur dan Putrajaya mengukuhkan pemerhatian penulis.

Pada 2021 misalnya, dua wilayah itu menghasilkan 101,949 tan plastik, iaitu 13 peratus daripada keseluruhan 772,349 tan sampah yang berakhir di tapak pelupusan.

Tahun berikutnya, sisa plastik dari dua Wilayah Persekutuan berkenaan meningkat kepada 210,966 tan daripada 796,795 tan sampah yang dihasilkan.

Dari segi kutipan caj 20 sen itu pula, di Selangor sahaja sebanyak RM20 juta diperoleh bagi tempoh 2020 hingga Jun 2022, iaitu RM6.6 juta pada 2020, meningkat kepada RM8.5 juta pada tahun berikutnya dan RM4.8 juta hanya untuk enam bulan pertama 2022.

Tinjauan penulis di beberapa premis termasuk gerai makanan di beberapa lokasi di Lembah Klang, mendapati penggunaan beg plastik sekali guna, termasuk untuk membungkus makanan, masih berleluasa.

Sumber : Sinar Harian