KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedia membeli lebih banyak ubat antiviral Paxlovid untuk digunakan bagi merawat pesakit COVID-19.
Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata ubat terbabit adalah inisiatif untuk melindungi pesakit COVID-19 daripada gejala serius terutama pesakit berisiko tinggi, lapor Berita Harian.
“KKM sudah mula menggunakan ubat antiviral Paxlovid bagi merawat pesakit COVID-19 yang berisiko tinggi.
“Ini bukan untuk ganti vaksin ya…ini cuma untuk merawat. KKM juga akan beli lebih banyak lagi ubat rawatan ini,” katanya menerusi hantaran rakaman video di media sosial.
Dalam pada itu, Khairy berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak leka dan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika meraikan sambutan Aidilfitri kelak.
Katanya, ia penting untuk memastikan mereka yang berisiko tinggi terus dilindungi daripada wabak COVID-19.
“Jadi kita ada ibu bapa atau datuk nenek masih belum mendapatkan booster (dos penggalak) kerana mereka warga emas, bawa mereka untuk ambil booster sebab COVID-19 masih bahaya.
“Malah saya sudah umumkan warga emas yang layak dan berisiko tinggi boleh mengambil dos penggalak kedua bagi menambah imuniti mereka. Ini adalah pilihan..jangan kata saya paksalah atau sebagainya,” katanya.
Selain itu, Khairy berkata, beliau akan mengumumkan perkembangan SOP berkenaan sambutan Aidilfitri serta perkara penting lain pada minggu depan.
Sumber: Berita Harian