Sembilan individu dihukum penjara selepas didapati gagal melunaskan bayaran tuntutan nafkah yang diperintahkan Mahkamah Syariah.
Memetik laporan Buletin TV3, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Zakri Wan Mohd berkata bahawa sembilan individu terbabit dijatuhkan hukuman sejak 2012 sehingga 2019.
Tempoh hukuman dijalani antara tujuh sehingga maksimum 30 hari mengikut Peruntukan Tindakan Notis Penghakiman yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah.
Menurut Datuk Wan Zakri tindakan itu adalah amaran buat pihak lelaki yang masih culas membuat pembayaran nafkah.
Beliau bercakap selepas majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dekat Kuala Terengganu.
Menurutnya, suami perlu membayar balik dana yang disalurkan kepada bekas isteri menerusi dana kedua yang disediakan iaitu Dana Bantuan Nafkah Anak (DBNA).
Bagaimanapun, ada golongan yang mendapat dana itu tetapi mereka masih lagi dalam proses tindakan pelaksanaan perintah untuk mendapatkan balik nafkah daripada suami yang culas membayarnya.
Jelas beliau, perintah dibuat berdasarkan kepada keperluan sebenar anak dan kemampuan pihak bapa namun masih ada yang culas membayarnya.
Setakat ini, antara tindakan yang diambil seperti potong gaji dan dipenjarakan namun tidak kurang suami yang gagal dikesan untuk diambil tindakan selepas gagal melunaskan tuntutan nafkah.
Sumber : Buletin TV3