Harimau Malaya berdepan Kepulauan Solomon, Yemen di Terengganu

DUA aksi persahabatan antarabangsa melibatkan skuad Harimau Malaya akan diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu pada Jun ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin turut mengumumkan bahawa harga tiket kekal pada kadar RM30 bagi dewasa.

“Pasukan kita akan beraksi di Kuala Terengganu untuk memberikan peluang kepada peminat di Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan menyaksikan perlawanan serta pemain secara dekat,” katanya.

Hamidin yang juga Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 berkata demikian selepas meninjau latihan skuad terjun negara di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil bersama timbalannya, Datuk Nicol David.

Harimau Malaya yang melonjak ke ranking 138 dunia pada awal bulan ini, dijadual bertemu Kepulauan Solomon yang menghuni ranking ke-134 dunia pada 15 Jun, diikuti aksi menentang Yemen (ke-157) pada 20 Jun.

Skuad kendalian Kim Pan-gon itu sebelum ini mengharungi dua aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor menyaksikan mereka mencatatkan kemenangan 1-0 dan 2-0 masing-masing ke atas Turkmenistan dan Hong Kong.

Stadium Nasional,Bukit Jalil yang menjadi venue keramat skuad Harimau Malaya tidak dapat digunakan ketika ini berikutan kerja-kerja penggantian rumput.

Sumber : Sinar Harian