Harimau Kumbang Baham Lembu Berjaya Diperangkap

KEMAMAN – Seekor harimau kumbang jantan berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, tidak sampai 14 jam selepas perangkap dipasang di ladang sawit Felda Cherul 3, di sini semalam.

Haiwan liar itu dikesan masuk perangkap yang diletakkan umpan bangkai anak lembu pada pukul 8 pagi.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, perangkap tersebut dipasang pada pukul 6 petang kelmarin setelah menerima aduan penternak lembu.

Beliau berkata, penduduk mendakwa ternakan lembu mereka diserang harimau kumbang tersebut pada pukul 9 pagi kelmarin.

“Harimau kumbang dewasa yang dianggarkan seberat 70 kilogram berkenaan berada dalam keadaan sihat dan kita telah memberikan rawatan yang sesuai.

“Proses membawa keluar haiwan liar ini mengambil masa kira-kira empat jam dengan kekuatan enam orang anggota Perhilitan daerah,” katanya ketika ditemui di Felda Cherul, di sini hari ini.

Kean Seong berkata, harimau kumbang tersebut akan dilepaskan ke hutan simpan di negeri ini bersesuaian dengan habitat asalnya.

Sumber : Kosmo