KUALA LUMPUR – Kerajaan MADANI hari ini mengumumkan penyelarasan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik, berkuat kuasa mulai 16 Februari 2025. Pengumuman ini disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu, dalam Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat.
Penyelarasan harga ini dapat membantu para pesawah menangani kenaikan kos pengeluaran padi serta meningkatkan pendapatan mereka dimana pesawah akan menerima minimun RM 2000 bagi setiap tan metrik padi yang dijual menerusi harga lantai yang baru RM1500 dan dari subsidi skim harga padi sebanyak RM500. Selain itu, pengguna juga turut mendapat berita baik apabila harga jualan maksimum Beras Putih Tempatan (BPT) dikekalkan pada harga RM2.60 sekilogram.
Bagi memastikan harga BPT kekal stabil, Kerajaan MADANI akan memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pengilang padi untuk tempoh enam bulan pertama tahun 2025. Melalui peruntukan ini, sebanyak 24 juta kampit BPT dengan berat 10 kilogram (RM26.00) akan diedarkan secara berperingkat ke pasaran dalam tempoh yang sama.
Industri padi dan beras negara sering berdepan dengan pelbagai cabaran seperti ancaman perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik global. Namun, Kerajaan MADANI kekal komited untuk menjaga kebajikan pesawah dan kesejahteraan rakyat dengan mengimbangi kepentingan semua pihak dalam industri ini.
Dalam Belanjawan 2025, Kerajaan MADANI telah memperuntukkan sebanyak RM2.6 bilion untuk membantu pesawah, termasuk subsidi input pertanian dan insentif output pertanian. Langkah ini bertujuan untuk meringankan beban pesawah serta memperkasakan pengeluaran padi negara.
Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menyeru semua pihak agar bersatu padu dan menyokong usaha kerajaan dalam memastikan agenda keterjaminan makanan rakyat terus menjadi keutamaan. Pengumuman ini diharap dapat memberikan solusi ‘menang-menang’ kepada pesawah, pengilang, dan pengguna.
Dengan langkah ini, Kerajaan MADANI berharap industri padi dan beras negara dapat terus berkembang maju, sekaligus menjamin kesejahteraan rakyat dan kestabilan harga makanan asasi.