WALAUPUN sudah disenarai hitam selama lima tahun, namun seorang wanita warga Thailand dikesan sanggup menggunakan ‘laluan tikus’ melalui jalan darat di Kelantan untuk datang kembali ke negara ini dengan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Sungai Petani.
Pendapatan sebagai GRO yang mencecah RM100 sejam dengan hanya menemani pelanggan mendorong wanita terbabit kembali semula selepas diusir ketika ditahan mengikut Akta Imigresen pada 2021 lalu, lapor Harian Metro.
Wanita berkenaan mendakwa dia menggunakan khidmat tekong darat untuk masuk ke negara ini dengan kadar upah hampir RM2,000 dan memberitahu ‘modal’ dikeluarkan itu akan diperoleh semula dengan bekerja sebagai GRO selama tiga hari.
GRO terbabit juga mendakwa pelanggannya yang juga lelaki warga tempatan amat ‘pemurah’ kerana akan memberikan tips yang banyak asalkan dia serta rakan sekerja lain memberi layanan baik ketika menemani mereka berhibur.
Itu pengakuan diberikan wanita terbabit selepas dia bersama 15 lagi wanita warga asing ditahan dalam operasi dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di dua pusat hiburan masing-masing di Taman Angsana Jaya dan Taman Kampian di Sungai Petani, malam kelmarin.
Op Gegar selama tiga jam dengan kekuatan seramai 19 pegawai dan anggota JIM Kedah bermula pada 11.30 malam itu dilakukan susulan maklumat dan juga risikan yang dilakukan sejak beberapa minggu lalu.
Pengarah Jabatan Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, seramai 58 individu diperiksa dalam dua serbuan berkenaan dan daripada jumlah itu sembilan wanita warga Thailad serta enam warga Laos ditahan kerana salahguna pas lawatan sosial dan tidak memiliki pas sah.
Menurutnya, mereka yang ditahan itu berusia lingkungan 20 serta 30-an didapati bekerja sebagai GRO dengan seorang daripadanya sudah disenarai hitam dan tidak dibenarkan masuk ke negara ini selama lima tahun.
“Wanita yang disenarai hitam terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Imigresen 1959/63 kerana kembali secara tidak sah selepas diusir serta Seksyen 46(4) Akta Imigresen 1959/63 kerana masuk ke Malaysia selepas diusir atau dihantar pulang atas perbelanjaan Kerajaan Malaysia.
“Kes itu turut disiasat mengikut Kesalahan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 (Penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Tiada Pas yang sah),” katanya.
Mohd Ridzzuan berkata, pihaknya turut mengeluarkan saman kepada saksi (Borang 29) terhadap empat lelaki warga tempatan masing-masing pekerja serta pelanggan dan premis terbabit juga didapati beroperasi tanpa lesen.
“Kesemua wanita warga asing yang ditahan itu kemudiannya dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasaan JIM Kedah untuk tindakan lanjut dan tiada sebarang kekecohan berlaku sepanjang operasi dijalankan,” katanya.
Sumber : Harian Metro