JOHOR BAHRU – Geng Mat Lee yang aktif melakukan kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia Berhad (TM) di kawasan Seri Alam yang melibatkan kerugian kira-kira RM800,000 sejak Mei lalu tumpas dengan tertangkapnya 13 individu, Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua suspek yang terdiri daripada empat lelaki tempatan dan sembilan warga asing berusia antara 25 hingga 47 tahun ditahan antara pukul 3 hingga 6 pagi.
“Modus operandi kumpulan ini adalah berpakaian seperti pekerja kontraktor yang sedang melakukan kerja penyelenggaraan, lengkap dengan memakai ves pantul cahaya, kasut but, penghadang jalan, lampu ‘beacon’ dan peralatan memotong kabel.
“Dengan cara ini mereka dapat mengaburi mata pihak berkuasa tanpa mengesyaki apa-apa ketika melakukan kegiatan itu pada awal pagi.
“Namun Geng Mat Lee itu akhirnya tumpas setelah diberkas oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan pasukan ‘taskforce’ Balai Polis Johor Jaya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kamarul Zaman berkata, salah seorang suspek adalah pemilik premis barang lusuh yang dipercayai membeli kabel yang dijual oleh kumpulan itu.
Hasil penahanan kesemua suspek itu, polis berjaya merampas pelbagai peralatan yang digunakan mereka ketika mencuri kabel, antaranya pakaian dan kelengkapan kontraktor, sebuah lori, sebuah kereta dan pelbagai peralatan memotong kabel, katanya sambil memaklumkan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Susulan penahanan itu, polis menjalankan Ops Lusuh Bergerak pada Khamis lalu dan menahan lima pemilik premis lusuh dan merampas pelbagai kabel milik syarikat seperti TM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Siasatan awal mendapati pemilik premis itu membeli kabel tersebut pada harga RM35 sekilogram,” katanya sambil memberitahu kesemua pemilik premis lusuh ditahan di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil kerana gagal memberi keterangan tentang pemilikan barang milik syarikat telekomunikasi yang ditemukan di dalam premis masing-masing.
Dengan tumpasnya Geng Mat Lee, polis berjaya menyelesaikan lapan kes curi kabel TM di sekitar Seri Alam dan kesemua suspek ditahan reman hingga esok.
Sumber : Utusan Malaysia