ALASAN tak masuk akal. Seorang suami di Kulim, Kedah memberi alasan terpaksa membawa anak lelakinya berusia empat tahun menumpang tidur di rumah rakan wanitanya kerana bergaduh dengan isteri, lapor Harian Metro.
Lelaki berusia 35 tahun yang juga seorang penjawat awam memberi alassan itu ketika dicekup anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) pada 3.40 pagi tadi di rumah wanita terbabit di Taman Serai Wangi, Padang Serai, Kulim.
Pegawai Penguat Kuasa PADK, Azwan Azman berkata, pihaknya menerima aduan awam berhubung kegiatan maksiat di rumah itu sebelum melakukan pemeriksaan lanjut.
Menurutnya, selepas mengetuk pintu dan memberi salam, seorang wanita berusia 39 tahun membukanya dan membenarkan pemeriksaan dijalankan dalam rumah berkenaan.
“Kita menemui lelaki itu dan anak lelakinya berusia empat tahun berada dalam sebuah bilik, manakala seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang dipercayai anak wanita berkenaan sedang tidur di bilik lain.
“Hasil soal siasat mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen mempunyai hubungan suami isteri atau mahram menyebabkan pasangan itu ditahan kerana disyaki berkhalwat,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Harian Metro.
Azwan berkata, lelaki itu bekerja dan menetap di Pulau Pinang, malah isterinya juga dipercayai seorang penjawat awam.
Beliau berkata, pasangannya pula berstatus ibu tunggal dan bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah di Bertam, Pulau Pinang.
“Wanita itu mempunyai empat anak dan seorang daripadanya tinggal bersama, manakala tiga lagi tinggal bersama bekas suaminya.
“Pasangan itu kemudiannya dibawa ke balai polis berhampiran untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan,” katanya.
Azwan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Sumber: Harian Metro