PROJEK pembangunan semula Pasar Chow Kit kini mencapai 90 peratus kemajuan dalam fasa kedua daripada keseluruhan empat fasa yang dirancang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, projek berkenaan diteruskan Kerajaan Persekutuan pada pada 17 Oktober lalu dan dijangka siap 12 Oktober 2025.
“Proses pelantikan bagi kontraktor penyiap selesai melalui tender terbuka.
“Pada 26 September 2022, kontraktor penyelamat baharu dilantik untuk menyambung baki projek yang masih belum siap dengan kos bernilai RM125,800,000.
“Kontraktor baharu itu dijangka menyiapkan baki 10 peratus dalam fasa kedua pada 19 Mei ini sebelum menyelesaikan fasa ketiga pada 6 Disember 2024 dan fasa keempat pada 12 Oktober 2025,” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, malam tadi.
Memetik laporan Harian Metro, Azalina menjawab soalan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) yang meminta Perdana Menteri menyatakan nilai peruntukan diluluskan untuk menaik taraf Pasar Raja Bot yang terbengkalai dan bila projek itu akan disiapkan.
Mengulas lanjut Azalina berkata, projek berkenaan tidak terbengkalai kerana sebahagiannya sudah disiapkan, namun kekangan berlaku apabila kontraktor utama sebelum ini ditamatkan kontrak pada 18 Ogos 2021 akibat faktor prestasi.
“Projek pembangunan Pasar Raja Bot tidak terbengkalai kerana fasa satu disiapkan sepenuhnya pada 25 April 2016 dan fasa kedua dilaksanakan dengan kemajuan sehingga 90 peratus.
“Perjalanan projek ini sekarang adalah pada peringkat perlaksanaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Johari pernah mengilhamkan projek menaik taraf pasar itu ketika beliau menjadi Ahli Parlimen Titiwangsa sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Beliau kembali merampas kerusi itu pada PRU-15.
Projek itu dijangka siap pada 2018, namun terbengkalai hingga menyebabkan kira-kira 2,800 daripada 4,000 keseluruhan peniaga di sekitar pasar berkenaan terjejas dan terpaksa gulung tikar kerana kehilangan pelanggan.
Gambar : Trip.com | Sumber : Harian Metro