KUCHING: Seramai 16 penghuni dari dua rumah di Kampung Bako hilang tempat tinggal apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.58 pagi. Sepuluh anggota dari Balai Bomba Tabuan Jaya dikerahkan ke lokasi.
Setibanya di lokasi, mereka mendapati dua rumah tersebut telah hangus sepenuhnya. Semua penghuni berjaya menyelamatkan diri.
Kerja-kerja pemadaman dibantu oleh empat anggota Pasukan Bomba Sukarela Kampung Bako. Rumah pertama dihuni 14 sekeluarga (10 dewasa dan 4 kanak-kanak), manakala rumah kedua dihuni sepasang warga emas.
Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kebakaran dan menilai kerugian.