Setelah menabur bakti kepada negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan bersara wajib pada 21 April.
Jasa dan bakti beliau kepada bidang kesihatan selama 35 tahun terutamanya ketika Malaysia berperang dengan pandemik Covid-19 akan tersimpan rapi dalam lipatan sejarah negara.
Memetik laporan Buletin TV3, beberapa individu dan pihak termasuk Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah memuat hantaran mengenai persaraan beliau sejak beberapa hari lalu menerusi beberapa komen di Facebook milik beliau.
Bapa kepada enam anak berusia 60 tahun itu memegang jawatan Ketua Pengarah Kesihatan sejak 2013 dan tempoh lebih tiga dekad dalam perkhidmatan cemerlang menyaksikan beliau berhadapan saat mencabar ketika negara berhadapan Covid-19.
Malah, beliau juga dianggap ‘wira’ rakyat melalui pencapaian terbaik pasukan kesihatan di bawah pimpinannya dalam memerangi penularan virus itu.
Beliau dianggap ‘wajah yang memberi keyakinan’ oleh rakyat negara ini kerana usahanya memberikan maklumat terkini mengenai Covid-19 di media sosial, berlandaskan rumusan berasaskan fakta dan statistik.
Media sebelum ini juga ada melaporkan Dr Noor Hisham, dinamakan sebagai antara doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN), berdasarkan kewibawaan beliau menangani krisis Covid-19.
Menurut laporan Buletin TV3, Dr Noor Hisham berkata yang beliau tidak sabar meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga selepas dia berundur pada 21 April ini, iaitu hari dirinya mencecah usia 60 tahun, iaitu umur persaraan wajib anggota perkhidmatan awam.
“Persaraan adalah babak kehidupan seterusnya. Ia adalah perjalanan hidup. Saya akan menyeberangi satu jambatan pada satu masa,” katanya.
Sumber : Buletin TV3 | Gambar : Utusan Borneo Online