Doakan kejayaan kontinjen Malaysia di sukan Olimpik – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengajak rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan padu kepada kontinjen negara dalam usaha mereka untuk meraih emas pertama di Sukan Olimpik Paris 2024, yang bermula esok.

Beliau juga meminta rakyat Malaysia untuk mendoakan kejayaan kontinjen negara dalam acara yang disertai, dengan harapan mereka dapat mencatat sejarah dan meraih pingat. “Mari kita mengikuti, menyaksikan, dan mendoakan kejayaan team MAS. Selamat maju jaya dan sukses kepada team MAS.

“Selamat maju jaya kepada 26 atlet negara. Doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi langkah kalian di Paris, insya-ALLAH,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook serta video berdurasi 56 saat.

Kontinjen Malaysia akan bertanding dalam sembilan jenis sukan iaitu akuatik terjun, akuatik renang, pelayaran, menembak, berbasikal trek, berbasikal lebuh raya, angkat berat, badminton, golf, memanah, dan olahraga.

Negara akan memulakan saingan esok dengan pemanah muda negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, yang akan beraksi dalam acara recurve wanita sehari sebelum upacara pembukaan temasya sukan pada Jumaat ini.

Temasya ini, yang diadakan setiap empat tahun sekali, akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos.