Diskaun Tol 50 Peratus Sepanjang Musim Perayaan Tahun Ini

Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

Kerajaan akan melaksanakan diskaun tol sebanyak 50 peratus sepanjang musim perayaan tahun ini, menggantikan kemudahan tol percuma yang sebelum ini diberikan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata keputusan ini dibuat selepas Kabinet memutuskan untuk menstruktur semula pemberian subsidi agar lebih bersasar kepada golongan yang memerlukan.

“Tahun lalu, Kabinet telah menetapkan supaya subsidi diberikan dengan lebih terarah. Oleh itu, tiada lagi tol percuma pada tahun ini, sebaliknya kita akan meneruskan diskaun 50 peratus seperti yang telah dilaksanakan semasa Tahun Baharu Cina,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa diskaun ini akan diberikan bukan sahaja untuk Aidilfitri tetapi juga bagi perayaan lain sepanjang tahun ini.

Sebelum ini, sempena Tahun Baharu Cina, kerajaan telah melaksanakan diskaun tol 50 peratus bagi kenderaan persendirian Kelas 1 bermula jam 12.01 tengah malam 27 Januari hingga 11.59 malam 28 Januari. Langkah itu membabitkan peruntukan sebanyak RM20.08 juta sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.

Bagaimanapun, diskaun tol ini tidak melibatkan plaza tol di sempadan negara, termasuk Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

Dalam perkembangan lain, Nanta Linggi menegaskan bahawa semua kos berkaitan diskaun tol ini ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan, bukan oleh syarikat konsesi.

“Jika tol diberikan secara percuma, kerajaan perlu menanggung lebih RM100 juta setahun. Dengan diskaun 50 peratus, kerajaan masih membayar sekitar RM80 juta kepada syarikat konsesi, tetapi penjimatan ini boleh digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya,” katanya.