POLIS Kelantan menahan reman dua anggotanya yang disyaki memeras ugut serta mencabul sepasang individu bertunang dalam kejadian di Pengkalan Chepa dekat sini pada 4 Dis lalu.
Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata anggota berpangkat lans koperal dan konstabel berusia 35 dan 31 tahun terbabit ditangkap susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa lelaki pada Ahad lepas.
“Kejadian berlaku 10.45 malam ketika dua anggota polis berkenaan sedang melakukan rondaan sebelum terserempak dengan pasangan berusia 20-an itu yang berada di dalam sebuah kereta di tepi jalan.
“Anggota polis polis berkenaan dikatakan menumbuk seorang daripada mangsa sambil mengugut dengan meminta wang RM1,250 supaya kes berkenaan tidak dirujuk ke pejabat agama,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Shafien berkata selepas memperoleh wang yang diambil menerusi mesin juruwang automatik (ATM) berdekatan, anggota polis berkenaan juga didakwa menyuruh pasangan kekasih itu melakukan hubungan seks di dalam kenderaan mangsa yang kemudian dirakam menggunakan telefon bimbit suspek.
“Mangsa wanita berkenaan turut mendakwa dia dipaksa melakukan seks oral selain dicabul oleh seorang daripada anggota polis ketika tunangnya mengambil wang di ATM,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua anggota terbabit direman hingga 12 Dis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377C, Seksyen 354 dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
“Siasatan menyeluruh akan dijalankan. Sekiranya benar anggota kita terbabit dalam kegiatan jenayah, kita akan mengambil tindakan sewajarnya,” kata Shafien.
Sumber: Bernama