POLIS akan memanggil pengasas produk kecantikan menggunakan akaun Facebook (FB) atas nama Nor Shahadah Aisyah atau Cik Non susulan kenyataan dimuat naik di laman sosial itu yang didakwa menghina rakyat Sabah sebagai penyebab Covid-19 meningkat baru-baru ini.
Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan sebelum ini sudah dibuka dan pihaknya akan memanggil individu terbabit dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Harian Metro sebelum ini melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan ke atas Cik Non susulan kenyataan dimuat naik di laman sosial FB miliknya didakwa menghina rakyat Sabah sebagai penyebab Covid-19 meningkat.
Terdahulu, Cik Non didakwa menghina orang Sabah dengan menggelar diri mereka ‘bodoh’ dan rakyat Sabah miskin selepas tidak berpuas hati dengan peningkatan kes Covid-19.
Bagaimanapun baru-baru ini, Cik Non menafikan dirinya pernah mengeluarkan kenyataan itu sambil menegaskan akaun FB berkenaan adalah palsu.
Hasil pemerhatian netizen juga mendapati akaun FB berkenaan tidak lagi wujud.
Cik Non sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila caranya mempromosikan produk kecantikan mendapat kecaman netizen, selain viral di media sosial gara-gara bergaduh dengan pengawal keselamatan kerana dilarang masuk ke pusat beli-belah selepas tidak memakai pelitup muka.
Sumber: Harian Metro