SEORANG jururawat yang menjadi penerima suntikan vaksin Covid-19 pada 12 Mac lalu, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, wanita berusia 45 tahun itu meninggal dunia di rumahnya di Bandar Seri Astana, lapor Harian Metro.
Katanya, wanita itu yang berkhidmat hampir 20 tahun juga mempunyai rekod penyakit darah tinggi dan pihaknya dimaklumkan kematian itu oleh seorang pegawai perubatan pada jam 2.45 pagi.
“Temubual dengan suami wanita itu memaklumkan, isterinya bertugas di wad unit rawatan intensif neonatal (NICU) Hospital Pulau Pinang dan dia menerima suntikan vaksin Covid-19 di tempat kerja pada 12 Mac lalu.
“Dia juga ada mengadu lenguh badan sehingga Selasa lalu, masih mengadu sakit di seluruh badan dan sesak nafas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adzli berkata, pada malam kejadian, jururawat terbabit memberitahu kepada suaminya dia mahu berehat dan masuk ke bilik tidur pada 11.30 malam.
“Namun pada jam 2 pagi, ketika suami masuk ke bilik dan cuba mengejutkan isterinya, tiada sebarang tindak balas dari wanita berkenaan.
“Pemeriksaan pada nadi wanita itu juga mendapati tiada denyutan dan suaminya menghubungi pihak Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini,” katanya yang memberitahu pemeriksaan pasukan perubatan mengesahkan wanita itu sudah meningal dunia.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian tidak menemui unsur jenayah dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut.
Sumber: Harian Metro