Dato’ Ahmad Farhan Fauzi Santuni Warga Emas di Permatang Pasir, Salur Bantuan PM

Dato' Ahmad Farhan Fauzi Menyerahkan Bantuan Kewangan Daripada PMX
Ada Apa Dengan Melly..? PROM NITE

Permatang Pauh, 4 Mac – Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Farhan Fauzi, telah berkunjung ke Permatang Pasir, Permatang Pauh bagi mewakili YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dalam usaha membantu masyarakat setempat yang memerlukan.

Dalam lawatan tersebut, Dato’ Farhan telah menziarahi Puan Mazanah binti Hashim, seorang warga emas yang masih gigih memelihara cucunya yang kurang upaya meskipun berada dalam keadaan serba kekurangan. Menyedari beratnya beban yang ditanggung, Dato’ Farhan bukan sahaja hadir untuk menyantuni Puan Mazanah, tetapi turut menghulurkan bantuan kewangan bagi meringankan kesulitan yang dihadapi keluarga tersebut.

“Saya hadir bukan sekadar untuk menyantuni, tetapi juga untuk membantu mengeluarkan beliau daripada kelompok miskin tegar,” katanya dalam satu hantaran di Instagram.

Selain bantuan kewangan daripada Perdana Menteri, Dato’ Farhan turut memberi jaminan bahawa bantuan susulan akan diteruskan melalui kerjasama Zakat Pulau Pinang dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Inisiatif ini bertujuan memastikan Puan Mazanah serta keluarganya dapat keluar daripada kemiskinan tegar dengan segera.

“Usaha ini tidak terhenti di sini. Insya-Allah, melalui kerjasama dengan agensi berkaitan, bantuan akan terus disampaikan bagi memastikan kehidupan mereka lebih terjamin,” tambahnya.

Beliau berharap dengan langkah ini, Puan Mazanah dan keluarganya dapat menjalani kehidupan yang lebih baik tanpa dihimpit kesusahan.

Lawatan ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam membantu golongan yang memerlukan, sekaligus memperkukuh agenda membasmi kemiskinan di negara ini.