Kuala Lumpur: ASEAN berpotensi sebagai rantau yang terus berkembang dengan pertumbuhan ekonomi lebih pesat.
Pengerusi Institut Pengajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Prof. Dr. Mohd Faiz Abdullah berkata, ini sejajar dengan pandangan Perdana Menteri sempena Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, baru-baru ini berpendapat prospek masa depan ASEAN nampak cerah.
Katanya, pendekatan menyeluruh untuk menghadapi ketidakpastian geopolitik dan ekonomi kini semakin jelas dengan inti utama visi negara berakar pada pencapaian ASEAN sebagai kuasa tangguh, inklusif dan dinamik.
Ujarnya, sebagai Pengerusi ASEAN, negara menekankan prinsip bahawa pertumbuhan ekonomi mesti berfokus pada kesejahteraan rakyat dan mesra alam.
“Pendekatan itu bertujuan untuk menggabungkan pragmatisme ekonomi dengan nilai-nilai berorientasikan manusia, memastikan pertumbuhan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.
“Negara berhasrat untuk mempercepatkan pembangunan sambungan melalui infrastruktur yang lebih baik, menyelaraskan peraturan dan mempermudahkan prosedur kastam.
“Langkah ini bertujuan membuka potensi besar ASEAN dalam perdagangan intra-serantau yang ketika ini hanya mewakili sebahagian kecil daripada aktiviti ekonomi keseluruhan blok tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, negara akan terus memperkukuhkan sokongan kepada Perusahaan Kecil Sederhana (PKS), memupuk inovasi, dan membina rantaian bekalan lebih kukuh.
Memperkukuhkan sentraliti ASEAN dan kesatuan serantau
Jelasnya, dalam menghadapi persaingan kuasa besar semakin memuncak, negara komited untuk mengutamakan penglibatan konstruktif dengan kuasa global sambil mengekalkan kebebasan dan kestabilan ASEAN.
“Salah satu contoh komitmen negara adalah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang akan datang di Kuala Lumpur, bertujuan memperkukuhkan kerjasama ekonomi, teknologi dan budaya di seluruh wilayah.
“Negara juga menegaskan kepentingan untuk menyelesaikan isu-isu dalam ASEAN secara kolektif, termasuk konflik sempadan dan tuntutan wilayah di Laut China Selatan dengan tetap mengutamakan undang-undang antarabangsa, seperti UNCLOS 1982,” katanya lanjut.
Peralihan tenaga adil dan berkelanjutan
Beliau memberitahu, negara mengakui cabaran dalam memastikan keselamatan tenaga sambil mengatasi perubahan iklim.
“Melalui inisiatif seperti Grid Tenaga ASEAN dan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN 2025, negara berhasrat mempercepatkan integrasi tenaga boleh diperbaharui dan memperkukuhkan infrastruktur tenaga serantau.
“Namun, seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri di Davos, peralihan tenaga mesti memastikan keadilan sosial.
“Bagi ASEAN yang masih bergantung kepada minyak dan gas, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui perlu seimbang antara matlamat alam sekitar dan realiti sosio-ekonomi negara-negara membangun,” tuturnya lagi.
Memanfaat transformasi digital untuk masa depan ASEAN
Mohd Faiz berkata, negara memberikan keutamaan kepada transformasi digital untuk masa depan ASEAN, dengan memberi fokus kepada teknologi seperti kecerdasan buatan, blockchain, dan analitik data besar.
Jelasnya, inisiatif seperti Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) bertujuan menjadikan ASEAN sebagai blok digital yang lebih berdaya saing dan terintegrasi.
“Kepimpinan negara dalam ASEAN 2025 dipandu oleh visi kemakmuran bersama dan inklusiviti.
“Seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, ASEAN perlu bangkit untuk menghadapi cabaran, memanfaatkan kelebihan demografinya, dan mengutamakan pertumbuhan yang berkelanjutan,” katanya.