POLIS Daerah Sentul menahan seramai 10 individu masing-masing berusia lingkungan 27 hingga 52 tahun selepas didapati terlibat dengan sindiket pengumpulan kad ATM yang bertujuan untuk dijadikan sebagai keldai akaun di sekitar Kuala Lumpur.
Serbuan dijalankan sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada 22 Januari lalu sekitar jam 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kesemua mereka dipercayai bergiat aktif sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada April lalu.
“Mereka gunakan iklan di Facebook menawarkan sewa bagi kad ATM mangsa sebelum kad tersebut disalurkan kepada sindiket untuk kaut keuntungan.
“Mereka mampu mendapat komisen sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap kad ATM yang diserahkan manakala mangsa akan memperoleh komisen sebanyak RM300 hingga RM500,” katanya pada satu kenyataan pada Selasa.
Menurut Beh Eng Lai, kegiatan ini juga mempunyai kaitan dengan sindiket Macau Scam apabila ia terlibat secara langsung dengan taktik tipu menyamar rakan dan juga penipuan jualan atas talian.
Hasil serbuan terhadap tiga premis tersebut sekali gus telah berjaya menyelesaikan beberapa kes, antaranya 10 kes di Lembah Klang serta 16 kes di negeri-negeri lain.
Polis turut merampas beberapa peralatan sindiket antaranya, komputer riba, telefon bimbit, kad ATM, serta buku mengandungi butiran pelanggan.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebat serta denda.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana terlibat sindiket penipuan. – TheNewsMalaysia