JEMAAH Menteri akan berbincang keperluan untuk melanjutkan cuti sekolah sempena sambutan Aidilfitri atau sebaliknya berikutan fenomena cuaca panas melampau yang melanda negara ketika ini.
Memetik laporan Harian Metro, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain cadangan itu, kerajaan juga sudah mengkoordinasikan kerjasama dengan kerajaan negeri dan kementerian berkaitan bagi membantu rakyat menghadapi fenomena ini.
Katanya, ia termasuk kerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memantau dan membantu mereka yang terkena strok haba berikutan perubahan cuaca panas.
“Saya fikir itu harus dibincangkan di jemaah menteri,” katanya ketika menjawab soalan berhubung keperluan lanjutan cuti persekolahan akibat cuaca panas melampau.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, laporan berhubung mesyuarat berkaitan serangan strok haba sudah diserahkan kepadanya.
Katanya, usaha penyelarasan antara kementerian dan jabatan yang terbabit dalam soal ini juga sedang dijalankan.
“Ketika ini, iklim di negara kita sudah berubah apabila haba panas mula melanda terutamanya di Kelantan yang mana terdapat dua kematian.
“KKM juga mengambil langkah-langkah tertentu, dan kita nasihatkan rakyat di kawasan yang dilanda haba panas ini agar dapat minum air bersih dengan lebih banyak.
“Saya dimaklumkan oleh MetMalaysia bahawa panas ini akan berakhir pada pertengahan Mei. Jadi saya berharap walaupun ini fenomena baharu tetapi kita perlu berjaga-jaga dan mengambil beberapa langkah kesihatan,” katanya.
Dua kematian disahkan terjadi akibat strok haba yang membabitkan seorang bayi perempuan berusia 19 bulan dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun di Kelantan.
Selasa lalu, mangsa pertama Muhamad Syamil Aqil dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di Klinik Kesihatan Balai dekat Bachok pada 9.27 pagi dipercayai akibat strok haba dan dehidrasi.
Semalam, seorang kanak-kanak perempuan, Nur Imani dari Kampung Kota di Kota Bahru dilaporkan meninggal dunia pada 7.20 pagi Selasa juga dipercayai akibat strok haba.
Sumber : Harian Metro | Gambar : Utusan Malaysia