Cubaan penjenayah tegar meragut rantai milik seorang lelaki warga emas gagal apabila dia berjaya diberkas mangsa ragut dengan bantuan orang awam dalam kejadian di tepi jalan BRP 7 Bandar Baru Sungai Buloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, ketika kejadian kira-kira jam 11 pagi tadi, mangsa yang juga pesara kerajaan berusia 63 tahun sedang berjalan menuju ke keretanya di lokasi terbabit.
“Tiba-tiba datang sebuah motosikal Yamaha Y16 ditunggang suspek berusia 31 tahun menarik rantai emas dipakai mangsa sebelum pengadu bertindak menarik motosikal suspek.
“Tindakan itu menyebabkan suspek terjatuh bersama motosikalnya dan mangsa terus memeluk badan penjenayah berkenaan dan dibantu orang awam yang membolehkannya ditahan sebelum diserah kepada pihak polis.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami luka kecil di bahagian lutut akibat terjatuh, manakala rantai emas miliknya berjaya didapatkan semula daripada suspek,” katanya kepada Harian Metro.
Shafa’aton berkata, pihaknya membuat tangkapan terhadap suspek dan merampas motosikal Yamaha Y16 berwarna kelabu dan seutas rantai emas bernilai RM10,000 yang diserahkan oleh pengadu.
“Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai 13 rekod jenayah dan akan direman di Mahkamah Shah Alam esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sumber : Harian Metro