DI sebalik keterujaan menyambut ketibaan Aidilfitri tidak lama lagi, orang ramai mengakui terpaksa mengeluarkan kos agak tinggi hanya untuk membayar caj tempat meletak kenderaan di ibu negara.
Kegembiraan untuk membeli-belah kelengkapan raya tidak seindah disangka kerana caj parkir kereta persendirian yang naik mendadak.
Sinar Harian melaporkan berkenaan caj tempat meletak kenderaan di sekitar Lembah Klang khususnya di ibu negara yang disifatkan sebagai ‘mencekik darah’.
Malah keadaan di tempat meletak kenderaan seperti rupa tidak seindah khabar apabila jalannya berlubang teruk, air bertakung dan kurang selamat tidak setanding dengan caj dikenakan.
Wartawan Sinar Harian Selangor dan Kuala Lumpur, Mohd Azlim Zainury cuba menyelami masalah tersebut melalui tinjauan di pusat tempat meletak kereta utama di sekitar ibu negara.
Ketika hampir tibanya musim perayaan, orang ramai akan berpusu-pusu untuk keluar bagi membeli kelengkapan sewajarnya di pusat beli-belah atau di bazar Aidilfitri yang dibuka di ibu negara.
Mereka kebiasaannya akan membawa kenderaan sendiri bagi memudahkan untuk membawa pulang barangan yang dibeli untuk sambutan perayaan nanti.
Namun apa yang menjadi kegusaran kepada orang ramai ketika ini ialah caj tempat letak kenderaan milik persendirian di ibu negara yang meningkat secara mendadak berbanding hari biasa.
Gambar : Iluminasi | Sumber : Sinar Harian