Kuala Lumpur: Cadangan penggunaan kad pengenalan (Mykad) untuk membeli barangan bersubsidi seperti beras putih tempatan disifatkan antara kaedah penyelesaian sekali gus memastikannya diterima oleh mereka yang layak bagi mengelak berlaku ketirisan.
Ia susulan penularan video mendakwa pekerja warga asing menyimpan stok minyak masak paket di bawah kaunter untuk dijual kepada rakan senegara hingga menimbulkan kemarahan pengguna berikutan masalah bekalan terhad dan kerap kehabisan stok.
Dengan penggunaan kad pengenalan, ia menjadi lebih bersasar dan hanya warganegara dapat membeli barangan berkenaan.
Namun, kaedah yang dicadangkan itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pemain industri termasuk badan bukan kerajaan (NGO) serta orang ramai.
Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga (MACFEA), Dr Ahmad Hariza Hashim berkata, kaedah itu boleh menjadi antara jalan penyelesaian selain perlu mencari alternatif yang lebih baik.
Menurutnya, secara umum barangan subsidi memang dikhususkan untuk rakyat Malaysia dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah kategori B40.
“Cadangan ini boleh memberi kesedaran kepada semua pihak yang mana barangan subsidi hanya untuk rakyat tempatan. Jadi, memang produk subsidi kena kawal betul-betul. Penjual pun kena sedar dan cakna perkara ini.
“Kalau nak kena tunjuk kad pengenalan untuk beli barangan seperti beras tempatan, minyak masak paket, telur dan lain-lain, mungkin okay saja, tapi dari satu sudut lain, ia menyukarkan juga. Penjual pun tak boleh halang orang luar nak membeli, sebab barang murah orang mesti nak beli.
“Selain itu, dibimbangi juga kaedah ini akan disalah guna atau dieksploitasi dengan cara mereka membeli dalam kuantiti yang banyak. Jadi, masih boleh berlaku ketirisan. Justeru, semua pihak berkaitan perlu duduk bersama mencari jalan dengan mewujudkan kaedah pelaksanaan yang lebih baik seperti sistem ‘tracking’. Sebagai contoh, berapa banyak beras tempatan yang sampai dan terjual di sesebuah kedai,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kaedah yang dicadangkan itu antara usaha untuk memastikan subsidi sampai kepada mereka yang layak.
“Itu yang kerajaan mahu mulakan dengan subsidi petrol dan diesel menggunakan kad pengenalan dan e-dompet. Untuk subsidi bersasar petrol mudah serta pemantauan boleh dilakukan kerana hanya dilakukan di stesen minyak.
“Bagi makanan asas, ada banyak kedai runcit. Berkemungkinan akan ada pihak yang buat keputusan menyimpan barang kawalan dan digunakan untuk seludup ke luar negara atau dijual kepada golongan tak layak atau warga asing.
“Namun, tidak dinafikan dengan adanya kaedah sebegini, ia mampu mengawal pengeluaran barangan subsidi dengan menjualnya kepada golongan sasaran. Cuma pihak berkaitan perlu membuat pemantauan rapi dan bersikap telus. Jika tidak, dibimbangi barangan kawalan ini tiba-tiba tak ada di pasaran pula,” katanya.
Usah benar warga asing beli beras tempatan
Badan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan penjualan beras tempatan hanya dijual kepada rakyat tempatan sahaja dan bukannya kepada warga asing.
Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) Azmi Mohd Tahir berkata, kaedah ini secara tidak langsung membolehkan beras tempatan dapat disalurkan dengan baik pada masa hadapan.
“Kerajaan dilihat seperti tidak cakna dan bersedia, sepatutnya dari tahun lepas lagi menyimpan stok makanan ruji rakyat Malaysia supaya perkara di luar jangka dapat diatasi andai terjadi.
“Sehubungan itu, pihak kami menggesa kerajaan untuk lebih serius dalam menangani isu kekurangan beras tempatan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.
Kelmarin, Bahagian Kawalselia Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengambil beberapa langkah segera bagi mengatasi isu kekurangan beras putih tempatan.
Ketua Pengarahnya Datuk Azman Mahmood dilaporkan berkata, satu pertemuan bersama pengusaha restoran, penjaja kecil serta pihak berkaitan diadakan di Putrajaya, Jumaat lalu bagi membincangkan inisiatif segera bagi memastikan bekalan beras tidak terjejas di pasaran.
‘Apungkan harga kaedah terbaik’
Cadangan menunjukkan kad pengenalan sebagai kaedah untuk membeli barangan subsidi perlu diimplimentasikan sejak dari awal bukan ketika negara berdepan masalah kekurangan barangan berkenaan.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) Datuk Ameer Ali Mydin berkata, terdapat ramai pekerja asing termasuk bergaji tinggi di Malaysia apabila mereka juga membantu membangunkan ekonomi negara.
“Tidak elok kita sebagai satu negara praktis diskriminasi terhadap pekerja asing. Kalau nak bermula dengan kaedah seperti ini sekarang, memang susah. Sepatutnya buat dah lama.
“Subsidi di Malaysia bukan saja untuk beras tempatan, tapi juga tepung, ayam, telur termasuk petrol. Jadi, kalau diikutkan rakyat tempatan saja layak untuk mendapatkan barangan ini,” katanya.
Menurutnya, antara cadangan terbaik yang boleh dilaksanakan adalah membuat pengapungan barangan subsidi.
“Pada saya, cara lebih baik atasi ketirisan ini adalah pertama, apungkan harga untuk beras, telur, ayam dan apa saja barang kawalan atau makanan asas. Sebab, nanti bekalan akan ada di pasaran.
“Lebih bagus ada barang daripada buat harga kawalan tapi tak ada barang. Sekurang-kurangnya kalau apung harga, bekalan cukup, tapi dalam masa sama akan mengakibatkan golongan B40 susah,” katanya.
Katanya, kerajaan mempunyai mekanisme seperti sumbangan tunai Rahmah dan ia disifatkan cara terbaik berbanding subsidi.
Kakitangan awam, S Renuga, 27, berkata, warganegara perlu diberikan keutamaan untuk membeli barangan subsidi seperti minyak masak paket dan beras putih tempatan.
“Barangan bersubsidi sepatutnya diberikan kepada mereka yang memerlukan seperti golongan B40. Saya berpendapat penjualan barangan ini seharusnya lebih mengutamakan orang kita dahulu.
“Jika cadangan menggunakan kad pengenalan sebagai akses untuk rakyat tempatan mendapatkan bekalan bersubsidi dan memudahkan mereka, saya bersetuju. Ini lebih membantu,” katanya.
Suri rumah dikenali sebagai Along, 32, berkata, cadangan yang baik wajar dilaksanakan jika perkara itu dapat membabtu golongan sasar mendapatkan barangan subsidi dengan lebih mudah.
Golongan B40 terus dihimpit kos hidup tinggi
Kesukaran mendapatkan beras putih tempatan selain kenaikan harga beras import dan minyak masak peket menyebabkan orang ramai terutama golongan B40 mengeluh akibat tertekan dengan kos sara hidup.
Pekerja kilang, Arkaming Ibrahim, 39, berkata, walaupun banyak pasar raya mengadakan harga promosi, tetapi orang ramai tetap terbeban kerana kebanyakan barangan keperluan harian lain mengalami kenaikan harga.
“Kalau jenis orang makan gaji tiada masalah, cuma macam saya yang B40 ini memang sangat terasa apabila harga beras import naik, mahu atau tidak terpaksa beli jugalah sebab ia makanan ruji kita.
“Kita bukan hendak makan mewah pun, kadang beras 10 kilogram (kg) yang kita beli itu pun hanya tahan dua minggu untuk makan sekeluarga empat beranak.
“Kebiasaannya, saya beli beras Siam Super dan isteri beritahu beras ini asalnya keras dan apabila dibeli minggu lalu, ia agak lembik semasa dibasuh. Sebelum ini, kita basuh beras tidak terlalu banyak kanji putih, tapi saya tengok minggu lepas sudah berbeza,” katanya.
Sementara itu, pemandu van sekolah, Zaleha Awang Senek, 51, berkata beras putih import mempunyai kualiti dan rasa yang berbeza.
“Saya memang tidak menukar beras lain dan menggunakan beras import sebab sudah biasa disebabkan oleh kualiti dan rasa berasnya lain daripada yang lain.
“Apabila harga meningkat, kita memang tiada pilihan lain dan terpaksa beli juga,” katanya.
Pesara, Abdul Razak Mohd Ali, 66, dari Kepong, di sini, berkata dia terpaksa pergi ke lebih daripada satu pasar raya untuk membeli beras, semalam.
“Ini sudah masuk pasar raya kedua yang saya pergi, saya lihat harga beras import agak tinggi dan saya terus bergerak ke tempat lain.
“Saya hendak cari beras tempatan pun sudah tidak banyak tempat yang ada, macam sekarang pun apabila sampai pasar raya akan termenung melihat harganya,” katanya.
Sumber: Harian Metro