DUA anggota polis ditarik tugas serta-merta susulan dakwaan terbabit dalam kejadian gangguan seksual terhadap pemandu kereta wanita di dua sekatan jalan raya, minggu lalu.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya, berkata tindakan itu dibuat ke atas mereka sehingga siasatan selesai dijalankan.
“Polis pada masa ini sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh selepas kejadian berkenaan dilaporkan oleh dua wanita terbabit termasuk sudah merakam kenyataan daripada mereka.
“Siasatan ini bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai apa sebenarnya berlaku dan siasatan dijalankan secara telus dan teliti,” katanya ketika dihubungi Berita Harian pada Ahad.
Pada Sabtu, kecoh dua wanita memuat naik perkongsian pengalaman mereka di akaun laman sosial mendakwa mereka diganggu secara seksual oleh anggota polis bertugas ketika melalui sekatan jalan raya.
Seorang wanita berusia 23 tahun mendakwa mengalami gangguan seksual ketika melalui sekatan di Jalan Duta, menghala keluar dari Kuala Lumpur, pada jam 7.30 petang Jumaat.
Seorang lagi wanita mendakwa seorang anggota polis ingin berkenalan dengannya selepas anggota itu meminta nombor telefon bimbitnya juga ketika melalui sekatan.
Zamri berkata, siasatan kes itu dibuat mengikut prosedur dalam penyiasatan termasuk mencari saksi lain atau rakaman yang dapat mengesahkan dakwaan berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Zamri turut meminta mana-mana pihak yang mengalami situasi sama tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan.
“Pegawai dan anggota PDRM pula perlu bersikap profesional, tidak boleh berbuat sesuatu atau mengeluarkan percakapan yang tidak berkaitan dengan tugas rasmi yang dijalankan,” tambahnya.
Sumber: berita harian