Majlis Pimpinan Negeri Wilayah Persekutuan (MPN WP) menyambut baik inisiatif kerajaan melaksanakan Program Budi Madani untuk menyelamatkan negara dari ketirisan wang rakyat.
Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin, menyatakan pelaksanaan ini dapat membendung isu penyeludupan diesel ke luar negara yang membazirkan subsidi kerajaan.
“Penyeludupan berlaku kerana sebahagian besar subsidi diterima oleh pihak yang tidak layak. Bantuan ini dapat disalurkan kepada pengguna diesel yang layak, terutama golongan berpendapatan rendah seperti petani dan pekebun kecil untuk memastikan kebajikan rakyat terjaga,” katanya.
Azman menekankan bahawa golongan rentan tidak akan terkesan dengan rasionalisasi subsidi ini kerana mereka layak menerima semua subsidi dalam bentuk wang tunai.
Selain itu, subsidi tidak akan ditarik semula melalui platform Budi Madani kerana ia memastikan bantuan disalurkan dengan lebih efektif.
“KEADILAN Wilayah Persekutuan yakin langkah ini adalah tekad politik berani oleh Kerajaan Perpaduan. Ia juga akan membawa manfaat besar kepada ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat Malaysia,” ujarnya.