Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam sebuah kereta di parker Hospital Shah Alam.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Mohd Iqbal Ibrahim, pihaknya menerima laporan daripada Pegawai Perubatan Hospital Shah Alam pada jam 8.01 Selasa lalu.
“Hasil siasatan mendapati mangsa ditinggalkan oleh ibunya, yang juga kakitangan hospital berkenaan, secara tidak sengaja, di dalam kenderaan jenis Axia, selepas ibunya mengambilnya dari sebuah taska berdekatan tempat kejadian, pada jam 2 petang.
“Semasa ditinggalkan, mangsa dalam keadaan tertidur dan enjin kereta dimatikan.
“Setelah dihubungi oleh suaminya barulah ibu mangsa menyedari kejadian tersebut pada jam 6 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mangsa kemudiannya terus dibawa ke Jabatan Kecemasan hospital yang sama dalam keadaan tidak sedarkan diri namun disahkan meninggal dunia.
“Bedah siasat dijalankan pada keesokan hari (Rabu) namun keputusan masih belum dikeluarkan.
“Pemeriksaan ke atas mangsa juga didapati tiada mempunyai sebarang kecederaan luaran mahupun dalaman,” ujarnya.
Mohd Iqbal berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000, atau dipenjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya.
“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati semasa mengambil anak-anak mereka pulang dari sekolah atau taska, terutamanya yang masih kecil, supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
Mana-mana individu yang mempunya maklumat mengenai kejadian dan kes ini boleh menghubungi Inspektor Syer Aidid di talian 013-6544996.
Sumber : Awani