Mahkamah Tinggi hari ini membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 terhadap seorang juruteknik yang mengaku bersalah membuat hantaran berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di Facebook miliknya.
Hakim Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas membenarkan semakan difailkan Chiok Wai Loong, 35, selaku pemohon untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan terhadapnya pada 22 Mac.
“Selepas mendengar hujahan pihak-pihak, mahkamah membatalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen terhadap sabitan dan hukuman. Oleh itu tertuduh diarahkan ke Mahkamah Sesyen untuk dibicarakan secara penuh.
“Tertuduh diarah dipertuduhkan semula, tetapi di hadapan hakim Mahkamah Sesyen berlainan dalam kadar segera hari ini,” kata hakim itu.
Hakim Ahmad dalam penghakimannya berkata mahkamah telah meneliti nota keterangan semasa prosiding kes itu di Mahkamah Sesyen dan mendapati hakim di mahkamah berkenaan tidak merekodkan pengakuan bersalah tertuduh (Chiok), mengikut prosedur yang betul.
“Tidak disebut bahawa dia memahami pertuduhan dan akibat (kemungkinan hukuman) selepas dia mengaku bersalah. Hakim hanya menyebut pertuduhan dan hukuman dibacakan kepadanya.
“Pertuduhan terhadapnya begitu panjang, bagaimana anda (pendakwaan dan mahkamah) mengharapkan orang awam seperti beliau untuk memahami? Dia juga tidak diwakili peguam pada hari itu,” kata hakim itu dan menambah pendakwaan yang dibuat terhadap pemohon adalah tergesa-gesa.
Pada 22 Mac, Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM12,000 terhadap Chiok, selepas mengaku bersalah kerana membuat hantaran menghina agama Islam berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di Facebook.
Suzana turut memerintahkan Chiok menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap pada 20 Mac dan dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Lelaki itu didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook, menggunakan nama profil ‘Chiok Wai Loong’ pada 18 Mac, yang kemudiannya dilihat di Taman Sri Jati, Brickfields pada 3 pagi hari yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 231(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh, manakala peguam N. Surendran mewakili Chiok
Sumber : BERNAMA