Boleh Pasang Bendera Politik Di Kenderaan Tetapi Utamakan Keselamatan Jalan Raya

KUALA TERENGGANU – Pemandu kenderaan diingatkan agar berpada-pada serta tidak berlebihan dalam menghias bendera atau simbol parti politik sempena musim Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, walaupun memahami keghairahan memberi sokongan terhadap parti politik disukai itu wajar diraikan, keselamatan jalan raya perlu diberi keutamaan.

“Sebarang pemasangan bendera parti politik terutama pada kenderaan berat wajar tidak sesekali mengabaikan keselamatan jalan raya.

“Janganlah sampai mengganggu penglihatan pemandu sewaktu berada di jalan raya,” katanya di Kampung Cina di sini malam tadi.

Anthony Loke mengulas keghairahan segelintir pemilik kenderaan berat khususnya lori yang dilihat keterlaluan memasang bendera parti politik sempena PRN di enam negeri tidak lama lagi.

Beliau berkata, pemasangan bendera parti politik terbabit juga seharusnya tidak menganggu pemanduan pengguna jalan raya lain.

“Begitupun, saya rasa tidak perlu lah sampai ada larangan khusus (pemasangan bendera parti politik pada kenderaan).

“Paling penting kita perlu bertimbang rasa antara satu sama lain, sentiasa berwaspada dan berhati-hati di jalan raya,” katanya.

Sumber : Kosmo