BERGURAU tak kena tempat. Polis telah membuka kertas siasatan ke atas pemilik satu akaun Facebook (FB) selepas didakwa memuat naik satu gambar aib Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memakai seluar dalam dan kain pelikat ketika membuat sidang media dari kediamannya semalam.
Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan itu dibuka susulan satu laporan polis dibuat di Senawang.
“Kita sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi 1998,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Mengikut kanun berkenaan, tertuduh boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Semalam viral di media sosial gambar mengaibkan Dr. Noor Hisham dimuat naik akaun FB terbabit sehingga mendapat kecaman netizen.
Susulan itu, lelaki terbabit, Cho Jun Yang kemudiannya membuat permohonan maaf dengan mendakwa perbuatan itu hanya sekadar gurauan.
Bagaimanapun, permohonan maaf lelaki terbabit tidak diterima netizen apabila menerima lebih 11,000 komen dengan 465 perkongsian disusuli dengan 8,600 membuat emoji marah meskipun status berbaur penghinaan itu telah dipadam.
Sumber: Harian Metro