Tiga beranak bernasib baik apabila tidak mengalami kecederaan selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terjunam ke dalam kolam takungan banjir berhampiran Bulatan Mergastua, Jalan 3/40 Taman Pusat Kepong, di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.40 tengah hari.
“Seramai enam anggota bersama satu jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jinjang dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kemalangan membabitkan Proton Saga terbabas dan menjunam ke dalam kolam takungan banjir di lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini dalam laporan Harian Metro.
Morni berkata, terdapat tiga beranak yang juga warga asing terdiri daripada seorang lelaki, seorang wanita serta seorang kanak-kanak perempuan menaiki kenderaan itu.
“Lelaki dan wanita terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun itu pula hanya mengalami luka kecil.
“Ketiga-tiga mangsa berjaya dibawa naik kira-kira 1 petang dan kanak-kanak berkenaan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan,” katanya.
Sumber gambar – Berita Harian | Sumber laporan – Harian Metro