Berita Baik! Buat Perantauan Pantai Timur, Jualan Tiket Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri Bermula 1 April

KERETAPI Tanah Melayu Bhd (KTMB) menawarkan empat perjalanan bagi perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidilfitri ke Pantai Timur bagi laluan KL Sentral-Tumpat, Kelantan, sempena Hari Raya Aidilfitri.


Perjalanan terlibat adalah pada 19 April dan 20 April bagi laluan KL Sentral ke Tumpat dengan waktu berlepas pada pukul 11 malam, manakala perjalanan bagi laluan Tumpat ke KL Sentral pula adalah pada 24 April dan 25 April dengan waktu berlepas pada 10.50 malam.


KTMB dalam kenyataan hari ini berkata sebanyak 1,864 tiket ditawarkan untuk tren khas itu yang dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk premier dan superior, serta koc bufet.

“Tiket akan mula dijual pada 1 April pada 10 pagi dengan harga bermula RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala,” kata KTMB yang turut menyarankan pengguna membeli tiket menerusi aplikasi KTMB Mobile atau laman sesawang KTMB.


KTMB berkata tren khas berkenaan akan berhenti di 16 stesen antaranya Bandar Tasik Selatan, Gemas, Mentakab, Jerantut, Gua Musang, Kuala Krai, Pasir Mas dan Tumpat.

Sumber gambar – New Straits Times | Sumber laporan – Bernama