Berita baik buat bakal pengantin di Selangor!

BAKAL Raja Sehari pasti tersenyum dengan pengumuman yang telah dibuat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) apabila kebenaran untuk bernikah telah dibuka mulai esok (Rabu).

Setelah sekian lama menghitung hari serta kekangan akibat COVID-19, JAIS akhirnya membuka kebenaran untuk proses akad nikah yang boleh dilaksanakan di Pejabat Agama Islam Daerah dan masjid.

Menerusi kenyataan yang dibuat menerusi akaun Facebook, JAIS menyatakan perkara itu kini bole dijalankan bagaimanapun masih tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan.

Ini termasuk kehadiran yang terhad kepada pasangan pengantin dan wali saja, manakala individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.

Selain itu, JAIS turut mengambil kira faktor vaksinasi individu yang memerlukan ujian saringan ‘Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction’ (RT-PCR) bagi mereka yang belum lengkap vaskinasi.

Hasil saringan COVID-19 perlu dikemukakan dalam tempoh 72 jam dari waktu pelaksanaan majlis dan mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar sebelum majlis dilaksanakan.

Dalam masa sama, JAIS mengingatkan pihak-pihak yang terlibat untuk mematuhi ketetapan semasa Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Kesihatan dan kerajaan negeri, berkaitan langkah-langkah keselamatan.

Tegasnya, mana-mana pihak yang didapati melanggar syarat yang ditetapkan, pihak JAIS mempunyai kuasa untuk membatalkan atau menangguh majlis yang diadakan.

Selamat mendirikan rumah tangga!