Pelakon Bella Astillah, 29, memfailkan permohonan penceraian daripada suami, Aliff Aziz, 33, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini kelmarin.
Sebutan kali pertama berlangsung hari ini, Bella atau nama sebenar, Dayang Nabellah Awang Astillah, tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi, ditemani ibu Zarinah Astillah dan adiknya, Didi Astillah.
Bagaimanapun, kelibat Aliff, 33, tidak kelihatan.
Ketika ditemui pemberita selepas sebutan kali pertama berakhir, Bella memberitahu dirinya nekad untuk bercerai.
“Sebenarnya, saya fikir ini jalan terbaik untuk saya. Seperti mana semua tahu, kami pernah rujuk sebelum ini. Jadi, saya fikir, dengan memilih jalan masing-masing, ini mungkin yang terbaik untuk diri Aliff dan saya.
“Pada awalnya, dia bersetuju dan lagi-lagi pada Ramadan ini, saya mahu semuanya lancar… Itu sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Bella, iaitu Azmi Mohd Rais berkata, Aliff tidak hadir atas urusan penggambaran dan prosiding diteruskan, bulan depan.